Berdasarkan laporan "BP 2030 Energy Outlook", penggunaan tenaga asas (primary energy use) dunia dijangka meningkat dengan kadar purata 1.7% setahun dari tahun 2010 hingga tahun 2030. Di Malaysia, menurut statistik yang dilaporkan di "Laporan Imbangan Tenaga Kebangsaan 2008" (National Energy Balance 2008), Malaysia merekodkan peningkatan purata penggunaan tenaga asas pada kadar 6.1% setahun di antara tahun 2000 hingga 2008. Nilai ini juga menghampiri peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) purata tahunan iaitu 6% bagi jangkamasa yang sama.
Di samping itu, menurut Energy Information Administration, seluruh dunia menggunakan hampir 86.4% bahan api fossil sebagai sumber tenaga asas diikuti 8.5% tenaga nuklear, 6.3% tenaga hidroelektrik dan 0.9% tenaga yang boleh diperbaharui pada tahun 2007. Walau bagaimanapun, isu pokok di sini adalah kemajuan negara akan terbantut jika kita tidak dapat memperoleh sumber tenaga yang mencukupi. Bagaimanakah Malaysia dapat memastikan Jaminan Tenaga (Energy Security) sedangkan kita akan menjadi pengimpot tenaga bersih sebelum tahun 2020?