Bagi sektor industri dan pertanian, kecekapan air bermaksud mengurangkan atau mengoptimumkan penggunaan air bagi sesuatu proses tertentu. Ini dilihat sebagai kadar penggunaan air atau lebih dikenali sebagai water footprint. Water footprint membantu kita menetapkan penggunaan air di pelbagai sektor. Ini adalah pengurusan permintaan yang lebih efektif dan meliputi semua sektor. Sebagai contoh, kita menggunakan 140 liter air untuk menghasilkan secawan kopi, 184 liter air untuk 1kg tomato, 1000 liter air untuk 1 liter susu lembu dan 20,000 liter air untuk menghasilkan satu komputer riba (laptop). Melalui pengurangan nilai-nilai water footprint ini, sektor industri dan pertanian boleh menjadi lebih cekap air dan mengurangkan kebergantungan kepada air yang tinggi.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyarankan supaya kita menggunakan 165 liter/kapita/hari untuk kegunaan domestik. Ini bermakna setiap pengguna domestik boleh mengguna sebanyak 5 meter padu air dalam sebulan. Sebagai contoh, jika sebuah isi rumah mempunyai 5 penghuni, penggunaan air secara lestari adalah dalam lingkungan 25 meter padu air sebulan. Sekarang, anda perlu mula mengira penggunaan air anda!